August 12, 2011

Cahaya Keimanan

Apakah yang menjadikan generasi pertama yang dididik oleh Rasulullah SAW begitu hebat? Dari manakah datangnya kekuatan jiwa mereka ketika segala kekuatan manusia berkumpul untuk menghancurkan gerakan dakwah mereka? Apakah yang menjadikan jiwa mereka begitu tabah ketika diboikot selama 3 tahun? Bayangkan 3 tahun tanpa bekalan makanan. Ada yang terpaksa mengunyah apa saja termasuk daun-daun kering, ada sahabat yang mengikat perut mereka dengan ketulan batu bagi menahan rasa lapar. Dari manakah sumber kekuatan jiwa ketika kumpulan kecil ini bangkit untuk berdepan dengan satu batalion tentera musuh yang beberapa kali ganda lebih ramai dari mereka serta memiliki senjata yang lengkap dan kuda tunggangan yang cukup sedangkan mereka terpaksa menghadapinya dengan senjata yang kurang dan hanya berjalan kaki?

Cahaya apakah yang telah menyinari hati mereka hingga mereka begitu yakin dengan apa yang mereka perjuangkan; mereka korbankan segala yang mereka miliki, mereka tinggalkan apa saja yang mereka sayangi serta memutuskan hubungan dengan saudara dan sahabat karib yang menjadi teman hidup mereka sebelum ini?

Petunjuk dan cahaya Rabbani bagaimanakah yang sebenarnya diberikan oleh Baginda kepada para sahabat, sehingga memancarnya cahaya yang bersinar terang setelah kegelapan menguasai kehidupan; setelah hari demi harinya adalah kezaliman dan penindasan, dendam dan kebencian serta kekosongan jiwa dan kekufuran?

Air kehidupan apakah pula yang disiramkan oleh baginda ke dalam hati-hati mereka, sehingga mereka dapat sentiasa bergerak, berkembang, menumbuhkan bunga-bunga, melapisinya dengan dedaunan nurani dan perasaan serta tumbuh di dalamnya kreativiti dan kemauan yang tinggi hinggakan terbangunnya sebuah ummat yang tidak mengenal erti keputus asaan dan kekecewaan, ummat yang tidak dijangkiti oleh cinta dunia serta kehidupan yang rendah dan murahan?

Generasi ini yang telah dirasuk oleh keimanan mereka hingga melahirkan peribadi-peribadi hebat yang sebelumnya adalah kaki judi, kaki arak dan penzina, jika yang mencuri itu orang yang lemah lalu mereka potong tangannya tetapi jika yang mencuri itu orang yang berpengarauh dan ada nama lalu mereka biarkan begitu saja dan jiwa mereka penuh dengan kebencian dan demdam kesumat.

Keimanan telah menjadikan diri mereka mulia hingga kita hampir-hampir melupakan kerosakan akhlaq mereka dizaman gelap. Keimanan menjadikan jiwa mereka tinggi hinggakan dari serpihan masyarakat jahiliyyah ini terbangunnya satu ummat yang luar biasa kehebatannya yang menjadi contoh unggul pada generasi mukmin selepasnya. Keimanan menjadikan jiwa mereka mulia hinggakan dari longkang-longkang jahiliyyah ini munculnya pendokong-pendokong kebenaran yang menyerah segala harta dan jiwa raganya untuk mempertahankan keimanan yang mereka miliki dan seterusnya menyebarkan cahaya kebenaran itu ke segala pelusuk dunia.

Mereka yang dahulunya menyembah sesama manusia dan apa saja yang memberi manfaat kepada mereka kini hidup dibawah naungan hidayah Allah dengan memurnikan ketaatn semata-mata kepada Allah SWT tanpa sebarang keraguan dan rasa lemah. Bahkan mereka merasa mulia dengan keimanan tersebut dan berserah diri sepenuhnya kepada program atau manhaj Rabbani.

Sejarah menyaksikan keperitan-keperitan yang mereka tempuhi, segala kesusahan dan kesukaran, kesakitan dan kematian tetapi sejarah kadang-kadang terlupa untuk mencatat kepuasan dan kebahagiaan yang memenuhi ruang hati dan perasaan mereka serta ketinggian jiwa yang menjadi nadi dalam setiap degup jantung dan kehidupan mereka. Kita menyaksikan adegan kehidupan yang menyayat hati dari lembaran sirah mereka tetapi sekiranya kita menyelinap masuk kedalam hati dan sanubari mereka dan menyelongkar jiwa dan perasaan mereka maka kita akan temui suatu kepuasan dan kebahagiaan, ketenangan dan keteguhan jiwa serta keyakinan dan pengharapan kepada janji-janji Allah yang berupa kebahagiaan kekal abadi dan kenikmatan yang tidak dapat dibayangkan di Akhirat nanti. Ketika tubuh mereka mengalirkan darah, hidung mereka terbaukan syurga, ketika medan perang sesak dengan tentera kuffar yang mereka lihat ialah janji dan pertolongan Allah SWT. Mereka mencari kebahagiaan di celah dedaunan kemiskinan dan kekurangan dan mereka menggali air ketenangan ditengah-tengah kemelut hidup yang menggoncang jiwa

0 komentar:

Post a Comment

r

r
r